KUCHING: Sebuah pelabuhan baharu dicadang akan dibangunkan di Tanjung Embang bagi mengurangkan kebergantungan kawasan Kuching terhadap Pelabuhan Senari.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelabuhan baharu itu akan mengguna pakai konsep di Jepun, akan dibina di laut.
“Pelabuhan tersebut tidak akan dibangunkan di kawasan tanjung tetapi sebalik akan berada di laut. Kita akan membuat apa yang dipanggil tebus guna tanah untuk membina pelabuhan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian di
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong di Pusat Konvensyen Hotel Raia, di sini malam tadi.
Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong memberitahu,keputusan membina pelabuhan di laut itu untuk mengelakkan aktiviti mengorek pantai berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya apabila siap kelak, pelabuhan ini akan dihubungkan ke pantai dan seterusnya ke Kota Samarahan dan Gedong.
Beliau percaya sekiranya negara maju seperti Jepun dan China berjaya melakukannya, maka tidak mustahil kaedah sama digunakan untuk membina pelabuhan laut di perairan negeri ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Idris Buang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.